
ALOR SETAR, 14 Julai- Kes jenayah melibatkan warga Myanmar etnik Rohingya di Kedah menunjukkan peningkatan pada tahun lalu dan enam bulan pertama tahun ini, namun majoriti kes dilaporkan berlaku sesama komuniti berkenaan tanpa melibatkan masyarakat tempatan.
- Kebanyakan jenayah kekerasan melibatkan Rohingya adalah sesama mereka dan tidak melibatkan penduduk tempatan.
- Pada 2025 direkodkan 65 kes dengan 75 tangkapan membabitkan warga Rohingya di Kedah.
- Polis tahan 116 tekong dan ahli sindiket sejak 2023; sindiket guna lokasi pendaratan baru seperti Kuala Kedah, Kerpan, Yan, Kuala Muda.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata sebanyak 17 kes membabitkan 18 tangkapan direkodkan pada 2023, sebelum meningkat kepada 65 kes dengan 75 tangkapan pada 2025.
Beliau berkata sebanyak 14 kes dengan 23 tangkapan direkodkan pada 2024, manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 39 kes dicatatkan.
“Pada tahun 2025, terdapat dua kes bunuh melibatkan lapan tangkapan. Namun, semua kejadian jenayah kekerasan seperti bunuh dan mencederakan yang melibatkan Rohingya di Kedah adalah sesama mereka dan tidak melibatkan orang tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Dalam perkembangan sama, Datuk Adzli berkata polis turut mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penyeludupan migran dengan 116 tekong dan ahli sindiket ditahan sejak 2023.
Katanya, pada 2023 seramai 25 tekong ditahan bersama 125 migran, diikuti 44 tekong dan 171 migran pada 2024, manakala 47 tekong bersama 222 migran ditahan pada 2025.
Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula, seramai 37 tekong dan ahli sindiket bersama 246 migran ditahan.
Menurutnya, sindiket penyeludupan warga asing kini mengubah modus operandi dengan menggunakan lokasi pendaratan baharu seperti Kuala Kedah, Kerpan, Yan dan Kuala Muda.
Katanya, langkah itu dipercayai susulan kawalan ketat di perairan Langkawi yang berjaya mengurangkan pendaratan migran secara besar-besaran.