
HYDERABAD, 14 Julai – India menyuarakan kebimbangan terhadap serangan ke atas kapal di Selat Hormuz susulan pertempuran yang tercetus semula antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
- Timbalan Ketua Perwakilan Iran di New Delhi dipanggil ke Kementerian Hal Ehwal Luar untuk menerima bantahan keras India.
- Seorang pelaut warga India terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan peluru berpandu ke atas dua kapal tangki UAE.
- Kementerian Pertahanan UAE menyalahkan Iran atas serangan terhadap kapal tangki yang dikendalikan oleh anak syarikat ADNOC.
- Indeks saham India merosot dan rupee susut susulan peningkatan ketegangan ketenteraan di Asia Barat.
Kerajaan India pada Selasa memanggil Timbalan Ketua Perwakilan Iran di New Delhi, Mohammad Javad Hosseini selepas seorang pelaut warga India terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan peluru berpandu ke atas dua kapal tangki minyak berbendera Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kapal tangki minyak mentah Al Bahiyah dan Mombasa membawa 30 pelaut warga India daripada keseluruhan 46 anak kapal, menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar India pada Selasa.
“Daripada 12 warga India yang berada di atas MT Al Bahiyah, seorang maut manakala seorang lagi cedera. Daripada 18 warga India di atas MT Mombasa, sembilan cedera termasuk dua yang dilaporkan mengalami kecederaan parah,”menurut kenyataan itu.
Kementerian Pertahanan UAE sebelum ini menyalahkan Iran atas serangan pada Isnin terhadap kapal tangki yang dikendalikan oleh anak syarikat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) itu.
“Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Iran di New Delhi dipanggil ke Kementerian Hal Ehwal Luar pagi ini dan bantahan keras berhubung serangan itu telah disampaikan kepadanya,” menurut kenyataan India itu.
“Kami juga mengulangi kebimbangan mendalam susulan serangan yang kembali tercetus serta peningkatan permusuhan di rantau Asia Barat dan menggesa supaya keganasan dihentikan serta-merta dan semua pihak kembali kepada dialog serta diplomasi demi kepentingan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Indeks penanda aras saham India turut merosot susulan peningkatan ketegangan ketenteraan di Asia Barat, manakala nilai rupee susut 62 paise untuk ditutup pada paras 96.3 berbanding dolar AS.
Indeks Sensex susut 561 mata atau 0.72 peratus kepada 77,054.9, manakala Nifty 50 turun 159 mata atau 0.66 peratus kepada 24,052.- BERNAMA