PBB bimbang konflik AS-Iran jejas orang awam, gesa kebebasan pelayaran Selat Hormuz

Farhan Haq/ REUTERS

NEW YORK, 15 Julai – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa peningkatan semula konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran memberi kesan besar terhadap orang awam di Asia Barat serta kawasan lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • PBB: peningkatan ketegangan menjejaskan usaha keamanan, meningkatkan ketidakstabilan dan menimbulkan risiko serius terhadap hak asasi manusia.
  • Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Volker Turk memberi amaran ketegangan lebih meluas boleh memburukkan keselamatan serantau.
  • Semua pihak mesti hormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan lindungi orang awam serta kemudahan awam.
  • PBB gesa kebebasan pelayaran Selat Hormuz serta kecaman terhadap serangan maritim yang membahayakan anak kapal.

Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, perkembangan itu turut menjejaskan usaha ke arah keamanan, meningkatkan ketidakstabilan dan menimbulkan risiko serius terhadap hak asasi manusia di rantau berkenaan.

Haq turut menyatakan, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk telah memberi amaran bahawa peningkatan ketegangan lebih meluas antara kedua-dua negara boleh memburukkan keadaan keselamatan serantau.

Semua pihak perlu menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi orang awam serta kemudahan awam.

Sebarang dakwaan pelanggaran undang-undang berkenaan perlu disiasat secara bebas dan segera.

Dalam pada itu, PBB turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan maritim susulan laporan serangan terhadap kapal-kapal di sekitar Selat Hormuz pada malam Isnin.

Haq berkata, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) amat bimbang dengan kejadian itu yang dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya dua pelaut selain mencederakan beberapa yang lain.

Beliau berkata, IMO mengutuk serangan tersebut dan menegaskan peningkatan ketegangan perlu dihentikan segera.

Mengulas mengenai pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, Haq berkata, PBB berpandangan laluan perkapalan di kawasan strategik itu perlu dibenarkan bergerak secara bebas.

“Kami percaya perlu ada kebebasan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz,” katanya sambil menegaskan PBB menolak sebarang usaha untuk menyekat kebebasan pelayaran.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.