
KUALA LUMPUR 14 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 diluluskan Dewan Rakyat hari ini, sekali gus mewajibkan pengamal kerja sosial di sektor swasta berdaftar dengan Lembaga Profesion Kerja Sosial.
- Akta baru akan mengawal selia profesion kerja sosial dan meningkatkan profesionalisme serta standard penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
- Pendaftaran wajib turut melibatkan individu di NGO, organisasi komuniti, syarikat korporat dan pengamal persendirian.
- Pegawai awam yang menjalankan amalan kerja sosial di luar tugas rasmi juga wajib mendaftar, tertakluk kepada kebenaran Ketua Jabatan.
- Kerajaan akan mewujudkan pangkalan data sistematik melalui pendaftaran wajib demi rekod jumlah, lokasi dan kelayakan pengamal swasta.
Akta baharu itu bakal mengawal selia profesion kerja sosial di negara ini serta meningkatkan profesionalisme dan standard penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kewajipan pendaftaran itu turut melibatkan individu yang berkhidmat di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi berasaskan komuniti, syarikat korporat dan pengamal persendirian.
“Pegawai awam yang menjalankan amalan kerja sosial di luar tugas rasmi kerajaan juga diwajibkan mendaftar, tertakluk kepada kebenaran Ketua Jabatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini belum mempunyai data lengkap mengenai jumlah, lokasi, kelayakan dan jenis perkhidmatan yang disediakan oleh pengamal kerja sosial di sektor swasta.
Menurutnya, lebih 54,500 NGO berteraskan kebajikan dan sosial yang aktif di seluruh negara, berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, menunjukkan keperluan mewujudkan pangkalan data yang lebih sistematik menerusi pendaftaran wajib.
Selain itu, RUU berkenaan turut memastikan standard kompetensi pekerja sosial di sektor awam setara dengan pengamal kerja sosial berdaftar.
Katanya, kerajaan akan terus menambah baik prosedur operasi standard, manual kerja dan peraturan sedia ada bagi memastikan mutu perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mula membangunkan kerangka perundangan berkenaan sejak lebih sedekad lalu.