
KUALA LUMPUR, 14 Julai- Sistem pendidikan di Gaza terus beroperasi meskipun konflik berlarutan lebih 1,000 hari, apabila lebih 100,000 pelajar berjaya menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Menengah Am (Tawjihi) sepanjang tempoh tiga tahun lalu.
- Kementerian melaksanakan peperiksaan elektronik, menggunakan sekolah maya dan pusat pembelajaran untuk memastikan akses pendidikan berterusan.
- Pendekatan elektronik mengukuhkan sistem penilaian digital dan mempercepat transformasi teknologi dalam sektor pendidikan Palestin.
- Perdana Menteri mengarahkan gerakan sumber kerajaan untuk sokongan lapangan, sambil menyusun projek pembangunan dan memperkukuh ketelusan kuota.
Kementerian Pendidikan Palestin melaksanakan peperiksaan berkenaan menerusi pendekatan digital, selain memanfaatkan sekolah maya serta pusat pembelajaran bagi memastikan pelajar terus mendapat akses kepada pendidikan.
“Keupayaan meneruskan peperiksaan Tawjihi dalam keadaan sukar ini mencerminkan komitmen untuk memastikan hak pelajar terhadap pendidikan tidak terhenti,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Palestin kepada RTM hari ini.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan peperiksaan secara elektronik turut membuka ruang kepada pengukuhan sistem penilaian digital serta mempercepat usaha transformasi teknologi dalam sektor pendidikan Palestin.
“Penggunaan kaedah elektronik dalam peperiksaan menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan model pendidikan yang lebih fleksibel dan mampu menghadapi cabaran semasa,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Dr. Mohammad Mustafa mengarahkan semua institusi kerajaan mempergiatkan lawatan lapangan dan melaksanakan intervensi di seluruh bandar serta kampung Palestin, khususnya kawasan yang terjejas akibat serangan pihak pendudukan Israel dan peneroka.
Beliau berkata, semua sumber kerajaan perlu digerakkan bagi memperkukuh sokongan kepada rakyat serta membantu mengurangkan kesukaran yang dihadapi.
“Kerajaan akan terus memperluas peranannya di lapangan dengan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat dan memastikan bantuan sampai kepada kawasan yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan lain, Jemaah Menteri Palestin turut meneliti Dokumen Keutamaan Projek Pembangunan 2026 yang dikemas kini, membabitkan puluhan projek strategik di Tebing Barat sebagai persediaan mendapatkan pembiayaan pelaksanaan.
Jemaah Menteri turut meluluskan Rang Undang-Undang melalui Dekri mengenai Kuota dan Senarai Komoditi bagi meningkatkan ketelusan pengagihan kuota, selain memperkukuh perlindungan terhadap amalan monopoli.