fb fb fb fb fb

Polis tahan remaja menyamar petugas hospital

PDRM

SEPANG, 8 Ogos- Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan polis kerana disyaki menceroboh dan menyamar sebagai petugas hospital, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, remaja warga tempatan itu ditahan pada pukul 9.00 pagi di lobi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima laporan daripada kakitangan hospital berkenaan pada 1.00 tengah hari, berkaitan seorang perempuan tidak dikenali berada dalam dewan bedah mengaku pegawai perubatan yang akan membantu menjalankan pembedahan.

"Hari ini lebih kurang 8.30 pagi, pihak hospital telah mengenal pasti kehadiran individu sama cuba mendaftarkan diri di kaunter menggunakan identiti palsu. Pihak hospital terus menghubungi polis dan tangkapan telah dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis turut merampas baju dan seluar scrub serta lanyard hak milik hospital.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar penjawat awam.

Jika sabit kesalahan menceroboh, boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, manakala hukuman menyamar penjawat awam pula boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

SITI AISHAH MD ISA