fb fb fb fb fb

Polis tahan dua lelaki warga asing, cubaan seludup 10.16 kg dadah tumpas

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi hasil rampasan dadah ketika pemeriksaan di kawasan jeti nelayan Sungai Tiang, Bagan Datuk pada 15 Julai lalu.

IPOH, 18 Julai- Polis menahan dua lelaki warga Indonesia ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis methamphetamine seberat 10.16 kilogram (kg) bernilai RM340,000 di kawasan jeti nelayan Sungai Tiang, Bagan Datuk pada 15 Julai lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata hasil pemeriksaan sekitar 10.00 malam itu telah menemukan 10 paket lut sinar dadah berkenaan di dalam sebuah bot fiber milik salah seorang suspek.

“Kedua-dua mereka yang ditahan berusia 42 dan 46 tahun selain hasil saringan awal air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 106,100 penagih,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket ini dipercayai mula bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah pada awal Januari lepas dan disyaki untuk pasaran negara jiran.

Dalam pada itu, Azizi berkata kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 16 Julai hingga 22 Julai ini dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata polis Perak telah berjaya merampas 158.6 kg dadah pelbagai jenis bernilai RM5.2 juta sepanjang Januari hingga 17 Julai.

Beliau memaklumkan rampasan terbesar membabitkan methamphetamine seberat 67.5 kg, heroin (62.4 kg), kafein (19.4 kg), ganja (5.1 kg), ketamin (1.6 kg), eramin 5 (1.4 kg), pil ecstacy (0.6 kg) dan pil yaba (0.6 kg).

“Jumlah keseluruhan tangkapan ialah 11,562 individu melibatkan 1,437 (bekalan), 3,422 (memiliki), 75 (Langkah-langkah Pencegahan Khas) dan 6,628 (urin positif dadah),” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI