IPOH, 13 November - Polis Perak berjaya menumpaskan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) secara haram di kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.
Susulan itu, polis menahan 31 individu termasuk 21 warga asing di dua lokasi berasingan pada Jumaat lepas dalam operasi Op Khazanah.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Yusri Hassan Basri berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 69 tahun.
"Hasil serbuan yang dijalankan di lokasi perlombongan haram pada 8 Disember lalu, seramai 28 individu ditahan membabitkan sembilan orang warga tempatan dan 19 orang warga asing.
"Kita juga menahan tiga lagi suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti haram iaitu seorang warga tempatan dan dua warga asing di lokasi berasingan di sekitar daerah Gerik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, daripada bilangan warga asing yang ditahan, 16 orang adalah lelaki warga China, tiga lelaki Myanmar dan masing-masing seorang wanita Myanmar dan Vietnam.
Hasil semakan pihak polis mendapati kesemua warga asing tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Tambahnya, kes disiasat dibawah seksyen 6 (1) (c) dan seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Manakala bagi kesemua suspek warga tempatan direman tiga hari dan warga asing direman selama 14 hari.
Kesemua suspek disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) yang akan dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Malaysia.