
LUMUT, 15 Ogos — Seramai 41 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihukum penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan di perairan Teluk Senangin, pada 31 Julai lalu.
- Didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 di Mahkamah Majistret.
- Dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 26A ATIPSOM; kes akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi.
- Tekong vesel cuba meloloskan diri dan merempuh bot ronda Maritim Malaysia empat kali sebelum ditahan pada 3.35 pagi.
- Maritim Malaysia akan memperkukuh risikan, rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan migran dan membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung semalam mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua OKT mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam perkembangan sama, dua daripada 41 warga Indonesia itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seri Manjung.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Katanya, kes berkenaan akan melalui proses perundangan selanjutnya termasuk pemindahan ke Mahkamah Tinggi.
Kesemua mereka ditahan selepas sebuah vesel nelayan asing Indonesia dikesan di perairan Teluk Senangin, berhampiran Batu Malang.
Tambah beliau, tekong vesel terbabit cuba meloloskan diri dan merempuh bot ronda Maritim Malaysia sebanyak empat kali sebelum ditahan pada 3.35 pagi.
“Tiada anggota Maritim Malaysia cedera dalam kejadian itu,” katanya.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh keupayaan risikan, rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi mengekang kegiatan penyeludupan migran serta memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.