
ALOR SETAR, 15 Ogos – Sebanyak 13,000 liter disyaki diesel dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menahan sebuah bot pukat tunda yang disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan muara Sungai Kedah, awal pagi Jumaat.
- Bot pukat tunda ditahan oleh Maritim Malaysia selepas rondaan dan maklumat risikan, disyaki melanggar syarat lesen.
- Pemeriksaan mendapati minyak diesel disimpan melebihi kapasiti sah, dipercayai melanggar Akta Perikanan 1985.
- Kru, bot dan rampasan dibawa ke Jeti IPMZ Kuala Kedah untuk siasatan; Maritim tegas dan alu-alukan maklumat awam.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak dalam kenyataan memaklumkan, Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah (IPMZ Kuala Kedah) mendapati diesel terbabit disimpan di dalam tangki bot berkenaan.
Sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot pukat tunda dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya di sekitar muara Sungai Kedah selepas menerima maklumat risikan.
“Pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan yang dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru membawa minyak disyaki diesel melebihi kapasiti yang dibenarkan sebagaimana ditetapkan dalam syarat sah lesen, sekali gus dipercayai melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan kira kira 13,000 liter minyak disyaki diesel di dalam tangki bot berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Ppemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aktiviti perikanan dilaksanakan secara sah serta tidak menjejaskan kepentingan industri perikanan dan keselamatan
perairan negara.
Kesemua kru, bot serta hasil rampasan telah dibawa ke Jeti IPMZ Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
Kejayaan iitu merupakan hasil kerjasama erat antara anggota risikan dan pasukan operasi dalam memastikan setiap maklumat yang diterima diambil tindakan secara pantas dan berkesan.
Maritim Malaysia menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang atau syarat sah lesen yang telah ditetapkan.
IPMZ Kuala Kedah juga mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan MERS 999 atau menerusi talian 04-7310579 yang beroperasi 24 jam.