JOHOR BAHRU, 14 Februari - Seramai 21 wanita warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan tanpa permit sah ditahan, menerusi serbuan keatas sebuah premis hiburan di kawasan Johor Bahru, Johor, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, semua yang ditahan dalam serbuan Op Noda itu berusia antara 19 hingga 42 tahun.
Premis berkenaan disyaki menjalankan perniagaan tanpa lesen, menggajikan warga asing dan bekerja tanpa permit sah serta menyalahgunakan pas lawatan.
"Turut ditahan, dua lelaki tempatan terdiri daripada seorang pekerja kaunter berusia 29 tahun dan seorang lagi berusia 30 tahun kerana memiliki ganja dalam operasi itu.
"Polis juga merampas pelbagai jenis barangan termasuk, sebuah komputer riba, wang tunai RM750 dan 11 kalung pelbagai warna yang bertulis nilai RM100 hingga RM10,000," menurut Azrol dalam satu kenyataan.
Hasil ujian air kencing menunjukkan,salah seorang yang ditangkap positif ganja. Semua tangkapan wanita ditahan reman (Pendatang Asing Tanpa Izin) selama 13 hari hingga 26 Februari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain, Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.