SHAH ALAM, 6 Februari- Sebuah kontena yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah haram di Kampung Bukit Cerakah, Klang diserbu dan menahan dua lelaki pada 30 Januari lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata serbuan kira-kira pukul 3 petang itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Beliau berkata, menerusi serbuan berkenaan polis merampas sejumlah dadah yang dianggarkan bernilai RM850,611.
"Sebanyak 440 gram ketulan kristal methamphetamine, 1.03 kilogram (kg) cecair methamphetamine dan 53.03kg serbuk ephedrine, pelbagai peralatan dan bahan kimia bagi tujuan penghasilan dadah dirampas.
"Dua lelaki masing-masing warga tempatan dan warga asing berumur 22 dan 37 tahun ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti memproses dadah ini,"katanya.
Kedua-duanya direman tujuh hari sehingga 6 Februari.
Jelasnya, semakan mendapati salah seorang suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
"Kedua-dua suspek itu masing-masing bekerja sebagai penghantar barangan dan buruh binaan. Semakan turut mendapati suspek warga asing itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,"katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.
Datuk Hussein berkata polis percaya aktiviti berkenaan telah berjalan lebih dua bulan di sebidang tanah yang mulanya disewa bagi tujuan memproses minyak namun terbengkalai manakala kontena itu telah digunakan untuk memproses dadah, selain tempat tersebut agak terlindung daripada penglihatan orang ramai.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.
Dalam perkembangan lain, Hussein berkata bagi Ops Tapis Khas SeMalaysia yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor selama tiga hari bermula 29 Jan lepas, seramai 670 individu ditahan termasuk warga asing melalui 349 serbuan.
"Ops ini menggempur 193 lokasi yang dijadikan sarang penagihan dadah di kawasan Felda, Felcra, Projek Perumahan Rakyat dan jeti nelayan, selain seramai 42 tokan dadah dan 20 orang berstatus dikehendaki, berjaya ditahan," katanya.
Selain itu katanya, sebanyak 63.544kg dan 32 liter cecair pelbagai jenis dadah dirampas, dengan anggaran nilai RM868,163.
Hussein berkata turut dirampas selaras senapang angin buatan sendiri di daerah Klang Utara, yang disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.