fb fb fb fb fb

Pesara pegawai Felcra disahkan dibunuh, dua suspek ditahan

Kehilangan seorang pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, sejak 4 September lalu, akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan bahawa mangsa dibunuh / Foto RTM

ALOR SETAR, 30 September – Kehilangan seorang pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, sejak 4 September lalu, akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan bahawa mangsa dibunuh.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun telah ditahan Jumaat lalu kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut.

"Berdasarkan pengakuan suspek, mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang, Kubang Pasu, dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

"Bagaimanapun, usaha mencari mayat mangsa masih dijalankan dan belum membuahkan hasil," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Fizol, siasatan kes ini yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai kes orang hilang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September, selepas kereta miliknya ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik.

Beberapa transaksi mencurigakan melibatkan pemindahan wang dari akaun Tabung Haji milik mangsa juga dikesan dua hari selepas kehilangannya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN