fb fb fb fb fb

Perselisihan hubungan punca Nur Farah Kartini dibunuh - KP Selangor

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

BATANG KALI, 26 Julai - Perselisihan hubungan dipercayai motif Nur Farah Kartini dibunuh, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Menurut Hussein, suspek akan dituduh di Mahkamah Kuala Kubu Bahru pada pagi esok (Jumaat) mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pihaknya masih menunggu laporan analisa makmal hospital bagi mengetahui punca kematian mangsa.

"Kita percaya ada kaitan dengan perselisihan hubungan, -- tapi cukup untuk tuduh (suspek).

"Punca kematian masih dalam siasatan pihak hospital lagi, kita perlu tunggu keputusan makmal untuk rumuskan punca kematian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pencegahan Jenayah Dari Persepektif Agama yang disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di Batang Kali, Hulu Selangor.

Sebelum ini, Berita RTM melaporkan Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang lima hari kemudian.

Suspek yang juga seorang polis berpangkat lans koperal sebelum ini direman bermula 16 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN