
PANTU, 23 Julai – Remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di Sungai Seterap, di sini pada Selasa, ditemukan meninggal dunia.
- Mayat ditemukan terapung pada pukul 12.30 tengah malam, kira-kira 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
- Mangsa, Taufik Ezany Abdullah, 15 tahun, dikatakan menyelam selepas jala tersangkut dan tidak timbul semula.
- Beliau bersama tujuh ahli keluarga menjalankan aktiviti menjala ikan di sungai berkenaan.
- Operasi selama dua hari ditamatkan dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, mayat ditemukan terapung pukul 12.30 tengah malam tadi, kira-kira 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Dalam kejadian tersebut, mangsa Taufik Ezany Abdullah, 15 tahun bersama tujuh lagi ahli keluarga telah menjalan aktviti menjala ikan di sungai berkenaan.
“Jala yang digunakan dipercayai tersangkut dan mangsa bertindak menyelam ke dalam sungai. Bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak timbul selepas itu,” menurut kenyataan itu.
Dengan penemuan mayat remaja lelaki itu, operasi selama dua hari berkenaan ditamatkan. Mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.