fb fb fb fb fb

Pereka dalaman mati dibunuh, polis tahan tiga lelaki

Pereka dalaman ditemukan mati dengan 20 kesan tikaman di sebuah apartmen di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

PETALING JAYA, 21 September – Polis menahan tiga lelaki tempatan susulan kes pembunuhan seorang lelaki yang merupakan pereka dalaman ditemui mati di sebuah apartment di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara pada 16 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt. M. Hussin Sollehuddin, kesemua suspek berusia antara 50 hingga 61 tahun ditahan pada pukul 3 pagi tadi dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Polis Kontinjen Selangor.

Menurut M. Hussin pihaknya percaya salah seorang daripada suspek yang ditahan merupakan pelaku utama dalam kes pembunuhan ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dan mereka tinggal serumah. Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dengan sembilan kes jenayah dan 14 kes berkaitan dadah," katanya.

Menurutnya, salah seorang suspek dipercayai memecah masuk kediaman mangsa pada hari kejadian ketika mangsa tiada di rumah.

"Namun, tidak lama kemudian mangsa pulang dan menyedari kediamannya telah diceroboh, menyebabkan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek direman selama enam hari hingga 26 September ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Dengan penahanan ketiga-tiga suspek ini, kami percaya salah seorang daripada mereka adalah pelaku jenayah tersebut dan kes pembunuhan ini dapat diselesaikan," katanya.

Katanya, kertas siasatan akan dilengkapkan segera sebelum dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk tindakan selanjutnya.

Isnin lalu, RTM melaporkan seorang pereka dalaman ditemukan mati dengan 20 kesan tikaman di sebuah apartmen di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

BERITA BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN