
LISBON, 10 Jun – Gergasi Sepanyol, Real Madrid sedia mengaktifkan klausa pelepasan bernilai 15 juta euro atau ($17.25 juta) bagi membawa pulang pengurus berpengalaman, Jose Mourinho dari Benfica, menurut kenyataan rasmi kelab Portugal itu.
- Pelantikan semula Florentino Perez membuka laluan untuk Jose Mourinho kembali ke Santiago Bernabeu.
- Benfica mengumumkan kontrak dua tahun dengan bekas pengendali Fulham Marco Silva sebagai pengganti Mourinho.
- Kepulangan Mourinho dianggap perjudian besar selepas dua musim tanpa trofi utama bagi Real Madrid.
Susulan perkembangan itu, Benfica turut mengumumkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan kontrak selama dua tahun bersama bekas pengendali Fulham, Marco Silva, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mourinho.
Silva, 48, sebelum ini meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan pada minggu lalu selepas lima musim mengemudi skuad The Cottagers.
Langkah membawa semula Mourinho, 63, ke Santiago Bernabeu dipercayai berpunca daripada pelantikan semula Florentino Perez sebagai Presiden Real Madrid pada hujung minggu lalu, sekali gus membuka jalan bagi kepulangan pengendali ikonik tersebut ke ibu kota Sepanyol.
Mourinho sebelum ini pernah membimbing Los Blancos selama tiga musim bermula 2010, menyaksikan beliau berjaya merangkul satu kejuaraan La Liga, satu Copa del Rey, dan Piala Super Sepanyol ketika era perseteruan sengit menentang Barcelona kendalian Pep Guardiola.
Bagaimanapun, pelantikan semula pengendali yang sering mencetuskan konflik itu dianggap sebagai satu perjudian besar oleh Perez, memandangkan Real Madrid baru sahaja mengharungi musim kedua berturut-turut tanpa sebarang trofi utama bagi kempen 2025/26.
Terdahulu, Real Madrid mengesahkan peletakan jawatan pengendali semasa, Alvaro Arbeloa, yang telah mengemudi pasukan sejak Januari lepas bagi menggantikan Xabi Alonso. -AFP