“Geng Saga” tumpas, tiga lelaki ditahan di Kelantan

Foto FB Polis Kontinjen Kelantan

KOTA BHARU, 9 Jun – Polis Kelantan berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah dikenali sebagai “Geng Saga” yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah cermin kereta dan mencuri di sekitar negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM23,000.
  • Tiga lelaki tempatan (49–56 tahun) ditahan, disyaki terbabit sekurang-kurangnya 10 kes pecah cermin di Kota Bharu dan Pasir Mas.
  • Polis merampas dua motosikal, sebuah komputer riba, empat telefon bimbit, dua beg galas, kad bank, dua pasport dan satu kad pengenalan.
  • Semua suspek ada rekod lampau, ujian air kencing positif methamphetamine, direman tiga hari bagi membantu siasatan Seksyen 379.

Ia melibatkan kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM23,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan, tangkapan terhadap tiga lelaki tempatan berusia antara 49 hingga 56 tahun itu berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah cermin kenderaan di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Kejadian awal dilaporkan berlaku pada 30 Mei lalu kira-kira pukul 12.45 malam di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Kedai Makan Aida Tomyam Tunjong yang mengakibatkan kerugian sekitar RM250.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan melancarkan serbuan pada hari sama kira-kira pukul 2.00 pagi di sebuah premis stesen minyak di Jalan Long Yunus, Kota Bharu.

“Dalam operasi itu, polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek serta merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah termasuk dua motosikal, sebuah komputer riba, empat telefon bimbit, dua beg galas, kad bank, dua pasport antarabangsa dan satu kad pengenalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah seperti lastik getah, serpihan palam pencucuh dan batang playar.

Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

Ketiga-tiga suspek kini direman selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Siasatan lanjut masih diteruskan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.