
PASIR MAS, 10 Jun – 12 warga Myanmar ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan Kelantan ketika bersembunyi di kawasan hutan Kampung Tok Rusa Meranti, petang Selasa.
- Serbuan Op Taring Wawasan Kelantan menemui warga asing bersembunyi di kawasan hutan Kampung Tok Rusa Meranti hasil maklumat dan risikan.
- Mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan dipercayai memasuki negara melalui Sungai Golok.
- 11 telefon bimbit dirampas anggaran nilai RM11,000; kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada pihak polis.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang hasil maklumat dan risikan.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, anggota menemui sekumpulan lelaki dan wanita dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan hutan berkenaan.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai merupakan warga asing yang memasuki negara ini melalui Sungai Golok.
“Seramai tujuh lelaki dan lima wanita warga Myanmar berusia antara 18 hingga 41 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, pihaknya turut merampas 11 telefon bimbit dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM11,000.
“Hasil siasatan awal mendapati lokasi serbuan dipercayai digunakan sebagai tempat persinggahan sementara sebelum kumpulan berkenaan dibawa ke destinasi yang telah ditetapkan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata, semua suspek tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Kesemua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.