fb fb fb fb fb

Penolong Kanan Pengarah Kastam didakwa, tidak serah rampasan sisik tenggiling

Tertuduh, diiringi pegawai SPRM ketika tiba di mahkamah

SHAH ALAM, 31 Mei- Seorang Penolong Kanan Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini atas pertuduhan tidak menyerahkan rampasan sisik tenggiling kepada Jabatan Perhilitan lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Hilmi Ghazali 51 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Menurut pertuduhan, Ahmad Hilmi telah menyebabkan seorang pembantu penguat kuasa kastam, Mohd Aliff Omar melupuskan sisik tenggiling jenis Genus Manis spp daripada stor Penguatkuasaan Pengkalan Marin, Pelabuhan Klang Utara antara September 2019 sehingga Disember 2019.

Menurut pihak pendakwaan, sisik tenggiling tersebut merupakan barang rampasan JKDM dan ia perlu diserahkan kepada Jabatan Perhilitan sebagai pihak berkuasa pengurusan yang dilantik bawah Seksyen 6(1) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Dakwaan dikemukakan bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen yang sama.

Jika disabit kesalahan, Ahmad Hilmi boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun selain sebatan atau denda.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid mengendalikan pendakwaan manakala peguam bela tertuduh, Nor Azri Mohd Arif mewakili Ahmad Hilmi.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud mengarahkan Ahmad Hilmi membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Ahmad Hilmi turut diperintah melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang sebulan sekali selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Dalam masa sama, Ahmad Hilmi juga dilarang menghubungi saksi pendakwaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE