JOHOR BAHRU, 20 Mac– Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tiga pertuduhan memandu bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia tujuh tahun serta mencederakan dua individu lain pada 16 Mac lalu.
Tertuduh, Muniandy @ Ang Ah Leang, 57 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Dia didakwa memandu bawah pengaruh dadah sehingga hilang kawalan sebelum melanggar dan menyebabkan kematian Mohamad Noah Soliqin Mohamad Khairuz di Jalan Pantai, Johor Bahru.
Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada Lina Yuliyanti, 38 tahun, dan Mohamad Khairuz Bahrawi, 44 tahun, di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnam Saleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes, dengan jaminan RM4,000 ditetapkan bagi setiap pertuduhan.