fb fb fb fb fb

Pegawai imigresen didenda RM1,500 setiap pertuduhan terima suapan

Seorang pegawai imigresen mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM600 tiga tahun lalu / Foto RTM

KUANTAN, 26 Mac – Seorang pegawai imigresen mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM600 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Rohaizi Ismail, 51, yang berkhidmat sebagai Pegawai Imigresen Pahang, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rohaizi didakwa menerima wang sebanyak RM600 daripada seorang pengusaha pusat hiburan dan refleksologi di daerah Temerloh sebagai balasan mempercepat urusan permit pekerja asing.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 Mei 2022 dan 30 Julai 2022, masing-masing melibatkan RM300, di Maybank Islamic Berhad, Jalan Bukit Ubi, Kuantan.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Zaharman Zainal.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM1,500 bagi setiap pertuduhan, dengan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh kemudiannya membayar denda tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN