LABUAN, 27 September - Seramai 24 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan dalam satu operasi penguatkuasaan Ops Sapu, awal pagi semalam.
Mereka yang ditahan berusia antara enam bulan hingga 40 tahun.
Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai, berkata operasi bermula kira-kira pukul 1.00 pagi itu diketuai KTPP Fatrick James, dengan menggempur dua penempatan warga asing di sekitar pulau berkenaan.
Katanya, operasi berkenaan hasil maklumat dan risikan selama empat hari.
“Pemeriksaan ke atas kedua-dua penempatan mendapati 71 individu diperiksa, membabitkan 39 warga Filipina dan 32 warganegara Malaysia,” jelasnya dalam kenyataan.
Kesemua 24 warga asing yang ditahan dipercayai melanggar Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JIM untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut.
Beliau menegaskan, operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan memindahkan warga asing yang melanggar undang-undang negara, selain tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI).