fb fb fb fb fb

Ketua Penolong Pengarah antara empat yang ditahan kes suapan projek lebuh raya

Ketua Penolong Pengarah badan berkanun, bersama-sama tiga tertuduh di Mahkamah Majistret Putrajaya

KUALA LUMPUR, 28 Jun- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang Ketua Penolong Pengarah badan berkanun dipercayai menerima rasuah lebih RM146,000 daripada satu syarikat sebagai dorongan mendapatkan kerja-kerja bagi projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.

SPRM menerusi satu kenyataan berkata, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini selama empat hari sehingga 1 Julai ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu berkhidmat di badan berkanun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM sekitar pukul 10.00 malam tadi.

"Suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada satu syarikat sebagai balasan bagi mendapat kontrak kerja membabitkan pembinaan sebuah lebuh raya," katanya.

Sementara itu, Majistret Nazira Adlin turut membenarkan permohonan SPRM untuk menyambung reman empat suspek termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya bermula 29 Jun hingga 2 Julai 2024.

Selasa lalu, SPRM telah menahan reman tiga pegawai syarikat konsesi lebuh raya termasuk seorang CEO selama empat hari selain turut menahan reman seorang lagi pegawai syarikat berkenaan selama tiga hari bermula Rabu lalu.

Kesemua suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada syarikat-syarikat yang mengambil alih kerja-kerja di dua projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang masing-masing bernilai lebih RM1 bilion dan kira-kira RM670 juta.

Penahanan seorang lagi suspek serta penyambungan reman terhadap keempat-empat suspek berkenaan disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya.

Kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI