KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Pelaksanaan hukuman sebatan syariah terhadap pesalah khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini hari ini telah dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang provokasi atau gangguan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata hukuman terhadap pesalah berusia 42 tahun itu dijalankan mengikut peruntukan undang-undang syariah dengan pemantauan rapi daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelas beliau hukuman ke atas pesalah yang disabitkan kesalahan khalwat kali ketiga itu dilaksanakan selepas solat Jumaat sekitar pukul 3.00 petang tadi.
Seramai 64 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk memastikan proses berjalan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Pengawasan juga dijalankan bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk pegawai bertugas, individu yang dihukum serta orang awam.
Azli berkata pelaksanaan hukuman itu merupakan usaha bersama pihak berkuasa untuk memastikan undang-undang syariah dipatuhi dan dihayati oleh masyarakat Islam.
Pada 20 November lalu, media melaporkan bahawa seorang duda, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu yang dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan setelah dia mengaku salah bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu Pindaan 2022.
BERITA BERKAITAN