
KOTA BHARU, 12 Julai – Cubaan menyeludup 400,000 batang rokok tidak bercukai berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Alpha 1 di Kampung Pulau Panjang di sini, malam tadi.
- Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun diberkas; seorang lagi suspek melarikan diri.
- Pemeriksaan kedua-dua kereta menemui 40 kotak mengandungi rokok putih dipercayai diseludup.
- Kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu; keseluruhan rampasan termasuk dua kenderaan dianggarkan bernilai RM813,000.
- Siasatan mendapati rokok untuk dipasarkan di Kuala Besut; suspek mengaku menerima upah RM150 hingga RM200 setiap penghantaran.
Dalam operasi kira-kira pukul 9 malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun diberkas, manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kereta dinaiki suspek menemukan 40 kotak mengandungi rokok putih yang dipercayai diseludup.
“Semakan turut mendapati kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.
Keseluruhan nilai rampasan, termasuk dua kenderaan dan rokok tidak bercukai itu dianggarkan bernilai RM813,000.
Siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai untuk dipasarkan di Kuala Besut, Terengganu.
Suspek turut mengaku menerima upah antara RM150 hingga RM200 bagi setiap penghantaran yang diuruskan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.