Tiga lelaki ditahan, pondok proses air ketum diserbu PGA

Foto PGA

TUMPAT, 12 Julai- Cubaan melarikan diri ke kawasan semak dan hutan gagal apabila tiga lelaki ditahan selepas polis menyerbu sebuah pondok di ladang getah Kampung Bendang Kerian, Tumpat, Kelantan yang dijadikan lokasi memproses air ketum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan Operasi Taring Wawasan Kelantan dilaksanakan oleh Cawangan Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu bersama BSJND IPD Tumpat.
  • Ditemui 138 bungkus air ketum, tiga kilogram daun ketum serta pelbagai peralatan pemprosesan; nilai rampasan dianggarkan RM5,860.
  • Suspek mengaku memproses dan menjual air ketum hampir lima tahun pada harga RM10 sebungkus; disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Serbuan menerusi Operasi Taring Wawasan Kelantan pada 7.30 malam tadi itu dilakukan Cawangan Risik Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata bertindak atas maklumat, pasukan serbuan menjalankan pemerhatian sebelum mengesan beberapa lelaki berada di sekitar sebuah pondok dalam kawasan ladang getah berkenaan.

Menurutnya, ketika anggota menghampiri lokasi itu dan memperkenalkan diri sebagai polis, beberapa individu bertindak melarikan diri ke kawasan semak dan hutan berhampiran bagi mengelak ditahan.

“Anggota mengejar suspek dan berjaya menahan beberapa individu selepas berlaku sedikit pergelutan ketika proses tangkapan. Keadaan bagaimanapun berjaya dikawal dan tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota polis atau individu ditahan.

“Hasil pemeriksaan di sekitar pondok berkenaan menemukan 138 bungkus air ketum, tiga kilogram daun ketum serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dan menyediakan air ketum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Foto PGA

Antara barangan dirampas termasuk tiga tong gas, empat dapur gas memasak, tiga periuk pelbagai saiz, sebuah penimbang dan satu tong ais batu dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5,860.

Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 39 tahun diserahkan kepada BSJND IPD Tumpat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Ahmad Radzi berkata hasil soal siasat awal mendapati kesemua suspek mengaku memproses dan menjual air ketum yang dimasak sendiri di pondok berkenaan pada harga RM10 sebungkus.

Menurutnya, kegiatan itu dipercayai telah dijalankan hampir lima tahun di beberapa lokasi berbeza bagi mendapatkan keuntungan, manakala bekalan air ketum dipasarkan kepada pelanggan sekitar kawasan tempatan.

Beliau berkata risikan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan serta membanteras kegiatan pemprosesan dan penjualan air ketum serta aktiviti jenayah lain di kawasan tanggungjawab.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.