Senegal pecat Pape Thiaw selepas tersingkir di Piala Dunia

Foto AFP

PARIS, 12 Julai – Jurulatih Senegal, Pape Thiaw dipecat susulan kegagalan pasukannya melepasi pusingan 32 terbaik Piala Dunia, umum Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF).

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatan kuasa eksekutif FSF memutuskan memulakan proses penamatan khidmat Thiaw dan seluruh barisan kejurulatihan.
  • Presiden FSF Abdoulaye Fall akan mengadakan sidang media Isnin bagi menjelaskan sebab keputusan dan hala tuju pasukan.
  • Senegal tewas 2-3 kepada Belgium dalam masa tambahan selepas mendahului 2-0 sehingga minit ke-86.

Dalam satu kenyataan, FSF memaklumkan jawatankuasa eksekutifnya telah memutuskan untuk memulakan proses menamatkan khidmat Thiaw serta keseluruhan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

Presiden FSF, Abdoulaye Fall dijadual mengadakan sidang media pada Isnin bagi menjelaskan sebab-sebab keputusan tersebut serta membincangkan hala tuju pasukan kebangsaan.

Thiaw, 45, bekas pemain antarabangsa Senegal, dilantik sebagai ketua jurulatih pada 2024.

Beliau menerima kritikan selepas kempen Piala Dunia yang mengecewakan apabila Senegal tewas kepada Perancis dan Norway di peringkat kumpulan sebelum kemenangan 5-0 ke atas Iraq, sekali gus membolehkan mereka mara ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun, Senegal tersingkir pada pusingan 32 terbaik selepas tewas 2-3 kepada Belgium menerusi masa tambahan, meskipun mendahului 2-0 sehingga minit ke-86.

Bawah kendalian Thiaw, Senegal muncul juara Piala Negara Afrika pada Januari lalu.

Namun, gelaran itu kemudian ditarik balik sebagai hukuman selepas pasukan itu bertindak meninggalkan padang ketika perlawanan akhir menentang Maghribi. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.