fb fb fb fb fb

Gadis 14 tahun mengaku tidak bersalah tikam ibu saudara

FOTO RTM

BUKIT MERTAJAM, 7 Januari- Seorang remaja perempuan 14 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibu saudaranya menggunakan pisau, Jumaat lalu.

Tertuduh yang tidak bersekolah itu membuat pengakuan tersebut dalam prosiding secara tertutup di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 34 tahun menggunakan sebilah pisau.

Kejadian berlaku sebuah rumah pangsa di Jalan Prai Jaya dalam daerah Seberang Perai Tengah pukul 11.30 pagi, 3 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan.

Manakala, pesalah kanak-kanak itu diwakili peguam, Muhaimin Hashim.

Remaja itu kemudiannya diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 20 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE