fb fb fb fb fb

Empat ditahan cuba rentas sempadan negara secara haram

Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) pada sidang media selepas lawatan kerja dan taklimat banjir di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Pasir Mas, Kelantan hari ini/RTM

PASIR MAS, 8 Disember- Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan selepas dipercayai cuba memasuki sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok, Kelantan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua warga Malaysia dan dua warga Thailand berusia antara 33 hingga 50 tahun di lokasi berasingan di Rantau Panjang.

Empat individu itu merupakan kumpulan pertama ditangkap sejak pelaksanaan larangan rakyat Malaysia merentasi sempadan secara haram yang berkuat kuasa pada 1 Disember lalu.

"Insya-Allah selepas ini akan ada lebih banyak tangkapan. Jika masih ada yang menyusup secara haram, kita akan mengambil tindakan tegas.

"Kita akui ada yang tidak berpuas hati dengan larangan rentas sempadan tetapi perkara ini sudah lama berlaku. Kini, kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan taklimat banjir di Pos Kawalan Tempat Kejadian oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat di Pondok Polis Renek di sini hari ini.

Kesemua suspek kini direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti motif mereka menyeberangi sungai secara haram.

Dua warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua rakyat Thailand disiasat mengikut Seksyen 6(1) akta sama.

Dalam pada itu, Ayob mengumumkan bahawa pasukan Senoi Praaq akan mula bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan pada 1 Januari depan.

Pasukan khas itu akan membantu keanggotaan sedia ada dalam memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan tersebut.

SITI AISHAH MD ISA