
GIBRALTAR, 16 Julai – Para pejalan kaki dan kenderaan mula melintasi sempadan antara Sepanyol dan Gibraltar pada Rabu selepas perjanjian yang membenarkan pergerakan secara bebas merentasi sempadan itu mula berkuatkuasa secara rasmi.
- Ketua Menteri Fabian Picardo dan tiga bekas ketua menteri merobohkan bahagian terakhir pagar sempadan sebagai upacara simbolik menamatkan kawalan sempadan.
- Langkah itu mengakhiri penantian puluhan tahun dan masalah kesesakan serta pemeriksaan dokumen ketat bagi penduduk dan pekerja.
- Gibraltar bergantung pada kira-kira 15,500 pekerja rentas sempadan, hampir separuh tenaga kerjanya.
- Keselamatan dinaik taraf dengan rangkaian CCTV meluas, pengecaman wajah dan kamera nombor plat; polis akan meningkatkan rondaan.
Ketua Menteri Gibraltar Fabian Picardo bersama tiga bekas ketua menteri merobohkan bahagian terakhir pagar sempadan sebelum tengah malam dalam satu upacara simbolik bagi menandakan berakhirnya kawalan sempadan antara wilayah kecil milik Britain itu dan Sepanyol.
Langkah bersejarah tersebut menamatkan penantian puluhan tahun penduduk serta ribuan pekerja yang selama ini terpaksa berdepan kesesakan panjang dan pemeriksaan dokumen yang ketat setiap hari.
Sejurus selepas pagar tersebut dialihkan, orang ramai dilihat melintasi sempadan antara La Linea de la Concepcion di Sepanyol dan Gibraltar secara bebas dalam kedua-dua arah, dengan rata-ratanya merakam detik bersejarah itu menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Kesesakan di pintu sempadan tersebut dilaporkan kembali meningkat ketika waktu puncak sebelah pagi berikutan kehadiran ribuan tenaga kerja dari wilayah Sepanyol yang mula memasuki Gibraltar untuk bekerja.
Gibraltar, yang hanya mempunyai kira-kira 40,000 penduduk, sangat bergantung kepada sekitar 15,500 pekerja yang berulang-alik dari Sepanyol setiap hari, mewakili hampir separuh daripada keseluruhan tenaga kerja di wilayah itu.
Sebelum ini, barisan panjang sering terbentuk di sempadan berikutan pemeriksaan dokumen yang ketat, terutamanya ketika hubungan antara Britain dan Sepanyol tegang berhubung isu kedaulatan Gibraltar.
Sempadan berkenaan pernah ditutup oleh diktator Sepanyol, Francisco Franco, pada tahun 1969 selepas pungutan suara penduduk Gibraltar memutuskan untuk kekal di bawah naungan Britain.
Penutupan tersebut berlarutan selama 13 tahun, sekali gus memutuskan hubungan keluarga dan menyekat pergerakan harian pekerja.
Mengulas mengenai perkembangan baharu itu, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menyifatkan pagar sempadan yang memisahkan kedua-dua wilayah berkenaan selama berdekad-dekad sebagai satu “luka terbuka” bagi ribuan pekerja yang perlu melintasinya setiap hari.
Di sebalik kegembiraan majoriti penduduk, keputusan merobohkan pagar fizikal itu turut menimbulkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan sebahagian kecil komuniti tempatan.
Bagaimanapun, Picardo memberi jaminan bahawa sistem keselamatan kini dinaik taraf menggunakan teknologi canggih termasuk rangkaian kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih meluas, teknologi pengecaman wajah yang dihubungkan dengan senarai dikehendaki antarabangsa, serta kamera pengecaman nombor plat automatik.
“Hari ini, kota ini tidak lagi mempunyai pintu gerbang fizikal. Ia kini sebuah kota digital, dan kawalan keselamatannya akan menjadi lebih selamat berbanding sebelum ini,” katanya sambil menambah bahawa pihak polis juga akan meningkatkan rondaan di kawasan sempadan.
Perjanjian antara Britain dan Kesatuan Eropah (EU) untuk memansuhkan kawalan sempadan fizikal itu ditandatangani di Brussels pada Selasa, selepas rundingan bertahun-tahun susulan tindakan United Kingdom keluar daripada blok berkenaan pada tahun 2020.
Perjanjian itu secara tidak langsung membawa Gibraltar ke dalam kawasan perjalanan bebas Schengen EU.
Bagaimanapun, pengembara dari luar zon Schengen masih perlu mengemukakan pasport di lapangan terbang dan pelabuhan Gibraltar. – AFP