Lebih 120 kebakaran hutan dikesan di Algeria dalam tempoh empat hari

Foto REUTERS

ALGIERS, 16 Julai – Dianggarkan antara 120 hingga 130 kejadian kebakaran hutan dan kawasan pertanian dilaporkan meletus di seluruh Algeria dalam tempoh hanya empat hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran merebak pantas memusnahkan hutan, belukar, tanah ladang dan kebun kurma, terutama di wilayah Bejaia akibat cuaca panas melampau.
  • Pasukan perlindungan awam dibantu pesawat pemadam menjatuhkan bom air untuk mengawal kebakaran dan melindungi kawasan penempatan.
  • Kemusnahan turut menjejaskan sektor pertanian; penternak kehilangan ternakan manakala penyelamat diletakkan dalam kesiapsiagaan tinggi.

Situasi tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan keselamatan yang serius.

Kebakaran yang marak dengan pantas itu memusnahkan kawasan hutan, belukar, tanah ladang dan kebun kurma, terutamanya di wilayah Bejaia yang terjejas teruk akibat cuaca panas melampau.

Pihak berkuasa tempatan menjelaskan bahawa fenomena kebakaran hutan kerap melanda negara berkenaan setiap kali musim panas tiba akibat faktor kemarau dan suhu tinggi yang ekstrem.

Pasukan perlindungan awam dengan bantuan pesawat pemadam api kini sedang bertungkus-lumus menjatuhkan bom air dari udara bagi mengawal api daripada terus merebak ke kawasan penempatan lain.

Sementara itu, kemusnahan kali ini turut memberi kesan kepada sektor pertanian tempatan, termasuk seorang penternak, Hamza Mahmoudy, yang kehilangan seluruh haiwan ternakannya selepas kawasan ladangnya dijilat api.

“Api terlalu kuat sehinggakan besi pun boleh cair,” luah Hamza yang sedih selepas mendapati kambing, biri-biri dan keldai miliknya mati rentung sebaik sahaja kembali ke ladang tersebut pada Rabu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Statistik dan Maklumat Perlindungan Awam Algeria, Nassim Bernaoui, mengesahkan bahawa pihak penyelamat kini diletakkan dalam kesiapsiagaan tinggi bagi memantau dan memadamkan saki-baki kebakaran yang masih aktif di beberapa kawasan kritikal. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.