PBB: 1.4 juta penduduk Gaza perlu bantuan tempat tinggal

Foto REUTERS

NEW YORK, 16 Julai – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan situasi kemanusiaan di Gaza kekal kritikal dengan dianggarkan 1.4 juta penduduk di wilayah bergolak itu kini memerlukan bantuan tempat tinggal jangka panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • 850,000 mangsa sangat memerlukan bantuan perlindungan kecemasan dengan kadar segera berikutan kemusnahan berterusan.
  • Kekangan dana menjejaskan usaha mengisi semula stok bekalan sebelum ketibaan musim sejuk walaupun 378,000 barangan diedarkan bulan lalu.
  • Misi menemui kira-kira 18 keluarga berteduh lebih setahun setengah di bekas sekolah dekat Garisan Kuning, kekurangan air, makanan, kesihatan dan sanitasi.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menjelaskan bahawa daripada jumlah berkenaan, seramai 850,000 mangsa sangat memerlukan bantuan perlindungan kecemasan dengan kadar segera berikutan kemusnahan berterusan.

Meskipun, pelbagai usaha bantuan dilakukan termasuk pengagihan lebih 378,000 barangan keperluan bulan lalu, kekangan dana yang meruncing kini mengancam usaha mengisi semula stok bekalan sebelum ketibaan musim sejuk.

Krisis berkenaan digambarkan menerusi satu misi kemanusiaan bersama yang diketuai Timbalan Penyelaras Kemanusiaan PBB bagi Wilayah Palestin yang Ditawan, Suzanna Tkalec, ke sebuah bekas sekolah PBB di Deir Al-Balah.

Di lokasi berkenaan, kira-kira 18 keluarga yang hilang tempat tinggal terpaksa berteduh dalam keadaan serba kekurangan selama lebih setahun setengah.

Keadaan bertambah sukar kerana tapak tersebut terletak hanya kira-kira 50 ela dari “Garisan Kuning” (zon bahaya), menyebabkan akses penghantaran bantuan sangat terhad.

Keluarga yang ditemui dalam misi itu menyatakan mereka sangat terdesak dan amat memerlukan bekalan air minuman bersih, makanan, kemudahan penjagaan kesihatan, sistem sanitasi, serta akses pendidikan untuk anak-anak.

Dujarric turut memberi amaran bahawa tanpa dana tambahan segera daripada komuniti antarabangsa, stok bantuan yang kini hampir habis tidak dapat digantikan semula, sekali gus meletakkan keluarga yang rentan dalam bahaya yang lebih besar apabila musim sejuk tiba nanti. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.