Isu Network School: 266 warga asing dari 40 negara diperiksa, siasatan lanjut dijalankan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memeriksa seramai 266 warga asing dari 40 negara di Forest City, Johor pada Selasa susulan isu “Network School” dikawasan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semakan awal menunjukkan dokumen imigresen sah; siasatan lanjut diteruskan untuk memastikan pematuhan Akta Imigresen 1959/63 dan peruntukan berkaitan.
  • Fokus siasatan pada penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen dan pelanggaran syarat pas; tiada kompromi terhadap pelanggaran.
  • Pemeriksaan dilaksanakan bersama MBIP, MCMC, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan PDRM; JIM akan terus bekerjasama dengan KDN dan agensi berkaitan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban mendedahkan, semakan awal mendapati kesemua individu berkenaan memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.

“Bagaimanapun, semakan dan siasatan lanjut sedang diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan serta peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang berkaitan,” katanya.

Jelas beliau, fokus siasatan tertumpu kepada mana-mana perkara yang menimbulkan keraguan atau sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.

“Tiada kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen atau penyalahgunaan kemudahan imigresen.

“Mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan ,” tegasnya.

Menurutnya lagi, setiap kemasukan warga asing ke negara ini tertakluk peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

Pemeriksaan di pintu masuk negara dilaksanakan berdasarkan dokumen perjalanan yang dikemukakan, semakan terhadap pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan yang tersedia pada ketika pemeriksaan dijalankan.

Beliau turut memaklumkan, pemeriksaan ke atas komuniti antarabangsa di Forest City itu dijalankan bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“JIM akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh, profesional dan berlandaskan undang-undang demi memelihara keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Johor menggesa KDN dan agensi berkaitan menyiasat operasi “Network School” di Forest City yang didakwa disertai warga Israel menggunakan pasport kedua untuk memasuki Malaysia hingga menimbulkan kebimbangan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.