fb fb fb fb fb

Dua warga Singapura dihadapkan ke mahkamah kerana edar dan miliki dadah

Dua lelaki warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah

JOHOR BAHRU, 12 Jun- Dua lelaki warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah berbahaya, pada 29 Mei lalu. 

Kedua-dua tertuduh, Tan Xiao Wei, 49 tahun dan Ee Choong Kiat, 36 tahun, menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R.Salini.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 58.625 kilogram di No.5 Jalan Anjung 8/1, Taman Horizon Hills, Iskandar Puteri, Johor Bahru, pada 10.30 malam, 29 Mei lalu.

Xiao Wei didakwa atas enam pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 11.48 kilogram dan Methamphetamine, 660 gram serta memiliki dadah jenis ketamin dan Minetazepam di Taman Perindustrian Plentong, Johor Bahru, 29 Mei lalu.

Manakala, Choong Kiat berdepan dua pertuduhan iaitu mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 0.074 gram dan memiliki dadah berbahaya jenis ketamin di Taman Molek, Johor Bahru, juga pada 29 Mei.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Pendakwaan turut dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya  Nur Ameerah Allaudeen, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Afiqah Hambali.

14 Ogos hadapan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI