KOTA KINABALU, 21 Oktober - Dua saksi masing-masing saksi kanak-kanak ke-16 dan ke-17 selesai memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang berlangsung secara tertutup di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
Kedua-duanya merupakan saksi ke-25 dan ke-26 keseluruhan dalam prosiding yang sedang berjalan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Menurut ringkasan kenyataan media pasukan peguam mewakili ibu Zara, saksi kanak-kanak ke-16 yang merupakan pelajar senior di sekolah sama memaklumkan, beliau mengenali Zara sebagai pelajar junior yang ceria, aktif dan “happy-go-lucky”.
Saksi itu turut menyifatkan Zara sebagai pelajar yang menghormati senior serta tidak pernah mengadu sebarang masalah atau tekanan sepanjang pengetahuannya.
Beliau juga menegaskan tidak mendengar sebarang bunyi jatuh atau perkara ganjil sebelum kejadian dan tidak mengetahui sama ada Zara dipanggil oleh mana-mana pelajar senior pada malam insiden tersebut.
Sementara itu, saksi kanak-kanak ke-17 yang merupakan rakan sebilik Zara, memberitahu mahkamah bahawa Zara seorang yang periang, berdisiplin dan bercita-cita untuk menjadi BADAR, iaitu pelajar pengawas agama di sekolah berasrama tersebut.
Saksi berkata pada 15 Julai 2025, selepas kelas ulang kaji malam, Zara kembali ke asrama sekitar pukul 9 malam sebelum turun mencuci pakaian dan masuk semula ke bilik sekitar pukul 10 malam.
Menurutnya, sebelum tidur, dia sempat melihat Zara duduk di atas lantai berhadapan almari dalam bilik asrama.
Saksi turut memaklumkan pernah membaca diari peribadi milik Zara berwarna hijau gelap yang mengandungi luahan perasaan mengenai seorang rakan.
Dalam perkembangan lain, pasukan peguam bersama Mahkamah Koroner turut menetapkan tarikh lanjutan prosiding sehingga Disember 2025.
Inkues seterusnya dijadual bersidang antara 21 hingga 23 Oktober dan 27 hingga 30 Oktober.
Prosiding seterusnya akan berlangsung pada 5 hingga 7 November, 10 hingga 11 November, serta 12 November (setengah hari) dan pendengaran diteruskan pada 17 hingga 20 November diikuti 24 hingga 27 November.
Manakala bagi bulan Disember, prosiding dijangka bersidang antara 1 hingga 4 Disember dan 8 hingga 11 Disember, tertakluk kepada tarikh perbicaraan Mahkamah Kanak-Kanak membabitkan lima pesalah kanak-kanak yang didakwa mencela Zara.
Perbicaraan bagi kes tersebut dijangka berlangsung 8 hingga 19 Disember 2025, selepas jadual asal antara 9 hingga 20 Disember disemak semula oleh Hakim Elsie Primus semasa pengurusan kes pra-perbicaraan baru-baru ini.
Mahkamah akan meneruskan prosiding inkues bagi meneliti punca sebenar kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha yang meninggal dunia di asrama sekolah itu pada Julai tahun lalu.