IPOH, 1 Julai - Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 1 Ogos depan untuk menentukan tarikh pendengaran permohonan jaminan terhadap pegawai kanan polis yang didakwa membunuh dalam kejadian langgar seorang pelajar Tingkatan 5 di Ipoh, pada tahun lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet juga mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan menfailkan hujahan bertulis dan hujahan balas masing-masing.
Pada sebutan semula kes 1 Ogos depan, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan bagi mendengar permohonan jaminan itu selepas penghujahan bertulis difailkan oleh kedua-dua pihak.
Pada 14 Mei lalu, Hakim Bhupindar Singh telah menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan jaminan terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 hari untuk perbicaraan kes tersebut bermula 4 November hingga 17 Januari 2025.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz; Nasrul Hadi Abdul Ghani; Geetha Jora Singh dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan Lim Jin Wen.
Tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 44, berpangkat DSP sebelum ini didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 tahun.
Kesalahan dilakukan di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember tahun lalu.
Kejadian dipercayai berlaku selepas tertuduh yang ketika itu memandu sebuah kereta tidak berpuas hati dengan mangsa yang membuat bunyi bising ekzos motosikal sebelum bertindak mengejar dan melanggarnya dari arah belakang.