fb fb fb fb fb

Dadah bernilai RM1.85 juta dirampas, dua beranak antara yang terlibat

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 6 Ogos- Dua beranak dan pasangan kekasih antara lima yang ditahan bersama-sama sejumlah dadah bernilai lebih RM1.85 juta, dalam tiga serbuan berasingan, di Johor Bahru, Johor, 31 Julai lalu. 

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata suspek terdiri tiga lelaki dan dua perempuan tempatan, berumur 28 hingga 59 tahun, disyaki sebagai ahli, orang tengah dan penyelia sindiket.

11.19 kilogram dadah jenis ekstasi, ketamin, syabu dan erimin 5 yang dirampas turut mampu dipasarkan kepada kira-kira 37,400 penagih. 

Sindiket yang aktif sejak Jun lalu itu, cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan mengedar dadah yang dibungkus dalam paket minuman segera.

"Semua paket-paket yang digunakan ini adalah jenama yang popular dan perkara ini adalah untuk mengaburkan pihak berkuasa menghidu aktiviti-aktiviti mereka."

Mereka menyalah guna jenama terkemuka seperti Milo dan Nescafe itu, untuk menipu pandangan mata kasar kita. Kemudian, paket-paket ini memang dijual di pasaran," kata M. Kumar kepada pemberita hari ini, di sini.

Tiga daripada suspek didapati positif dadah jenis Benzo manakala dua lagi mempunyai rekod jenayah. 

Sindiket turut menjadikan rumah teres sebagai stor penyimpanan dan tempat pembungkusan dadah. 

Keseluruhan nilai rampasan dan dadah, berjumlah RM2.38 juta.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM