KUALA LUMPUR, 27 Januari- Ketua Pegawai Operasi ProLintas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM70,000 daripada syarikat pembinaan berhubung projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE), dua tahun lepas.
Tertuduh, Rostam Shahrif Tami, 59, didakwa menerima suapan itu daripada Syarikat Satunas Technologies Sdn Bhd melalui Mohd Rosman Alias.
Suapan itu sebagai upah bagi dirinya yang merupakan Wakil Pegawai Penguasa bagi Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat SUKE.
Ia sebagai dorongan untuk memberikan kerja No. 3 bertajuk To Construct End Cap Stressing And Shear Block dan To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting And Nosing kepada syarikat itu bagi Pakej CA3 (CH4200 To CH7800).
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di hadapan tempat letak kereta sebuah masjid di Jalan Damai, Kampung Datuk Keramat, pada 12 April 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dengan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh juga perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 27 Februari depan untuk sebutan semula kes.