JOHOR BAHRU, 29 Julai – Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 36 tahun di Johor Bahru susulan penemuan mayat seorang kanak-kanak di Jempol, Negeri Sembilan, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP M. Kumarasan dalam kenyataan memaklumkan, suspek ditahan pada 24 Julai selepas membuat laporan berhubung kehilangan anaknya yang berusia enam tahun itu.
Dalam laporan itu, suspek mendakwa anaknya hilang ketika ditinggalkan di dalam kereta.
Hasil siasatan membawa kepada penahanan suspek mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan kebajikan kanak-kanak, selain turut disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.
Tangkapan tersebut kemudian membawa kepada penemuan mayat kanak-kanak berkenaan di Jempol, Negeri Sembilan.
Kes kini disiasat lanjut oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dan suspek direman sehingga Khamis ini.