21 kenderaan disita dalam Ops Sepadu JPJ WKL

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Sebanyak 21 buah kenderaan disita termasuk dua buah bas persiaran sepanjang Operasi Sepadu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WKL) di Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 21 kenderaan disita termasuk dua bas persiaran semasa Ops Sepadu JPJ WKL di Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan.
  • Bas persiaran melanggar syarat KTP kerana gagal menyediakan pemandu pelancong berlesen, menjejaskan keselamatan penumpang.
  • Tindakan tegas diambil di bawah Seksyen 47(1)(b) Akta 715; pengendali boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

Pengarah JPJ WKL, Hamidi Adam berkata, bas persiaran tersebut didapati melanggar syarat Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) yang ditetapkan.

“Bas persiaran tersebut gagal menyediakan pemandu pelancong seperti yang diwajibkan di bawah syarat operasi permit bas persiaran.

Kami memandang serius kesalahan ini kerana ianya boleh menjejaskan keselamatan penumpang serta mencemarkan integriti industri pelancongan dan pengangkutan awam negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di ibu negara, hari ini.

Tambahnya lagi, tindakan tegas telah diambil serta merta tanpa kompromi terhadap pelaku.

Menurut beliau, kesalahan tersebut tertakluk di bawah seksyen 47 (1)(b) Akta Pengangkutan Awam Darat Akta 715 iaitu kegagalan mematuhi syarat permit yang ditetapkan bagi pengendalian kenderaan perkhidmatan awam

“Kewajipan menyediakan pemandu pelancong berlesen adalah selaras dengan peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992 Akta 482 yang menghendaki aktiviti pelancongan dikendalikan secara sah dan berlesen di bawah akta 715.

Mana-mana pengendali yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” katanya.