LONDON, 12 September- Taylor Swift membawa pulang tujuh anugerah di MTV Video Music Awards (VMAs) 2024 menjadikannya dengan jumlah keseluruhan 30 anugerah dan menyamakan rekod Beyoncé sebagai pemuzik yang paling banyak menerima anugerah dalam sejarah VMAs, lapor PA Media.
Penyanyi lagu "Cruel Summer" itu meraih anugerah Video Terbaik untuk "Fortnight," yang menampilkan Post Malone, Artis Terbaik, dan Kolaborasi Terbaik antara kemenangan rekodnya pada edisi ke-40 acara tahunan tersebut yang diadakan di UBS Arena di Long Island, New York.
Ketika menerima anugerah Video Terbaik, Swift mengucapkan terima kasih kepada "teman lelakinya" pemain NFL Travis Kelce, atas sokongannya.
"Segala-galanya yang disentuh lelaki ini bertukar menjadi kebahagiaan dan keseronokan serta keajaiban," katanya.
Swift juga menggalakkan peminatnya yang berumur lebih 18 tahun untuk mendaftar mengundi dalam pilihan raya Amerika Syarikat yang akan datang, walaupun dia mengelak daripada menyebut sokongannya terhadap Naib Presiden Kamala Harris secara langsung.
Pada malam Selasa, sejurus selepas tamatnya debat presiden antara Harris dan calon Republikan Donald Trump, Swift mengeluarkan kiriman Instagram panjang yang mengumumkan sokongannya terhadap Harris, menulis: "Saya rasa dia adalah pemimpin yang tenang dan berbakat dan saya percaya kita boleh mencapai banyak lagi dalam negara ini jika kita dipimpin oleh ketenangan dan bukan kekacauan."
Di tempat lain, Sabrina Carpenter memenangi Lagu Terbaik untuk "Espresso," manakala Chappell Roan, penyanyi "Good Luck, Babe," dinamakan Artis Baru Terbaik dan LISA dari Blackpink memenangi anugerah K-pop Terbaik.
Penyanyi "I Kissed a Girl," Katy Perry menerima Anugerah Video Vanguard yang mengiktiraf pencapaian seumur hidup.
"Terdapat banyak perkara yang perlu sejajar untuk mempunyai kerjaya yang panjang dan berjaya sebagai seorang artis," kata Perry.
"Tiada kemalangan yang berlaku selama beberapa dekad."
Penerima anugerah terdahulu termasuk Shakira, Beyoncé, Madonna, dan Jennifer Lopez.
Perry mempersembahkan medley lagu-lagu terbesarnya, termasuk "Roar," "Teenage Dream," dan "Firework," manakala Carpenter, Roan, Lisa, dan LL Cool J adalah antara penghibur lain pada malam tersebut. -BERNAMA-PA Media/dpa