NEW YORK, 27 Julai- Seorang peguam yang mewakili Justin Timberlake meminta hakim untuk menolak tuduhan memandu dalam keadaan mabuk terhadap penyanyi pop AS itu pada Jumaat, menegaskan anak guamnya "tidak mabuk" apabila dia ditangkap bulan lalu.
Pada 18 Jun, penyanyi berusia 43 tahun itu telah ditahan di bandar Sag Harbor, kira-kira 160 kilometer timur New York City, selepas polis mencurigai pemanduannya yang disifatkan 'tidak normal'.
Timberlake dilaporkan sedang dalam perjalanan ke rumah rakannya selepas makan malam di restoran hotel tempatan.
Pegawai menahannya kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.
Timberlake, yang kini dalam lawatan di Eropah, tidak menghadiri perbicaraan mahkamah pada Jumaat di New York.
Dia diperintahkan untuk menghadiri prosiding seterusnya pada 2 Ogos, walaupun akan dibenarkan berbuat demikian melalui persidangan video.
Hakim Carl Irace bersetuju untuk menyemak usul yang difailkan oleh peguam Timberlake, Edward Burke, yang berusaha untuk menolak kes itu, dengan mendakwa aduan yang difailkan oleh pegawai yang menahannya 'rosak'.
"Polis membuat beberapa kesilapan yang sangat ketara dalam kes ini," kata Burke dalam satu kenyataan selepas perbicaraan.
"Fakta paling penting untuk diketahui mengenai kes ini ialah Justin tidak mabuk dan tidak sepatutnya ditangkap."-AFP