fb fb fb fb fb

'Nafas' karya tentang perjuangan kehidupan

Kumpulan Cherpen

KUALA LUMPUR, 10 Januari- Kumpulan Cherpen mengorak langkah 2025 dengan sebuah lagi karya berjudul 'Nafas'.

Lagu berkenaan mendapat sentuhan daripada Nemo Cherpen, Syahir Cherpen, Kimie Cherpen manakala lirik ditulis oleh Nemo dan Syahir.

'Nafas' menceritakan perjuangan seseorang dalam menghadapi liku-liku kehidupan selain mencari kekuatan dan makna dalam setiap hembusan nafas.

Sementara itu vokalis kumpulan Cherpen Nemo mewakili kumpulan itu menjelaskan bahawa lagu berkenaan adalah sebuah karya mencerminkan perjalanan kehidupan dihadapi oleh setiap individu.

"Dalam lagu ini, kami berusaha untuk merangkum perasaan dan pengalaman yang ramai orang mungkin rasakan dari sudut harapan, perjuangan dan keinginan untuk terus bangkit walaupun dalam keadaan sukar.

"Kami berharap lagu ini dapat menjadi cahaya penunjuk arah dan sumber kekuatan kepada mereka yang sedang mencari inspirasi untuk terus melangkah ke hadapan walau apa jua halangan yang mereka hadapi," katanya.

Menurut Nemo, 'Nafas' adalah tentang memberi semangat kepada pendengar agar tidak pernah merasa terasing atau berhenti berusaha dalam mengejar impian.

"Lagu ini menjadi pengharapan dan penanda bahawa walau seberapa berat perjalanan yang dilalui, tiada yang mustahil selagi ada kemahuan dan usaha.

"Dengan harapan lagu ini dapat mengajak pendengar merenung kembali dan menemukan semula kekuatan dalam diri mereka. Kami bertekad untuk menyebarkan mesej positif melalui muzik kami," katanya lagi.

Lagu berkenaan boleh didengari di semua platform muzik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI