fb fb fb fb fb

Filem 'Worth The Wait' angkat keunikan Malaysia di mata dunia

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy ketika bertemu pengamal media pada acara tayangan perdana karpet merah filem 'Worth The Wait' di Dadi Cinema hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Sebagai usaha berterusan memperkukuh promosi pelancongan negara menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Tourism Malaysia mengambil langkah proaktif menyokong penerbitan filem-filem antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran utama.

Agensi itu turut menyokong filem "Worth The Wait" sebuah filem romantik komedi antarabangsa yang menampilkan keunikan landskap dan budaya Malaysia di mata dunia.

Tayangan perdana filem tersebut berlangsung di Kuala Lumpur, disertai lebih 200 tetamu jemputan termasuk barisan pelakon dan pembikin filem dari Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan dan Singapura hari ini.

Turut hadir menyaksikan tayangan perdana tersebut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sebagai tanda sokongan terhadap usaha merancakkan industri filem dan pelancongan negara melalui pendekatan kreatif dan berimpak tinggi.

Filem arahan pengarah tersohor Taiwan, Tom Shu-Yu Lin itu merupakan debut pengarahan beliau dalam bahasa Inggeris, dan dibintangi barisan selebriti terkenal seperti Ross Butler, Lana Condor, Andrew Koji, Sung Kang, Elodie Yung, Kheng Hua Tan dan Yu-Beng Lim.

Sebahagian besar penggambaran dijalankan di lokasi-lokasi terpilih di Semenanjung Malaysia, memperlihatkan kekayaan budaya, alam semula jadi dan keramahan masyarakat tempatan, elemen yang terus menjadi tarikan utama pelancongan negara.

Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, inisiatif itu sejajar dengan objektif kementerian untuk mempromosikan Malaysia melalui medium filem dan hiburan, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama produksi luar negara.

“Salah satu objektif kami macam mana nak mempromosikan Malaysia adalah menerusi filem. Jadi kita memang menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat penerbitan filem asing untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi untuk filem-filem antarabangsa.”

Beliau turut menjelaskan bahawa kolaborasi tersebut berpotensi besar dari segi promosi digital melalui pelakon-pelakon terkenal yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial.

“Kami difahamkan pelakon-pelakon yang terlibat ini mempunyai pengikut media sosial yang ramai. Jadi ini merupakan salah satu lagi cara untuk kita mempromosikan TMM2026, satu menerusi filem dan satu juga menerusi pelakon," katanya.

"Worth The Wait" diterbitkan oleh King Street Pictures dan diinspirasikan daripada kisah cinta jarak jauh antara Malaysia dan Amerika Syarikat oleh penerbitnya, Rachel Tan, bekas Miss Malaysia 2002.

Filem ini telah pun mendapat sambutan positif di platform penstriman global seperti Hollywood, Kanada, United Kingdom, Australia dan New Zealand. Ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula Ogos ini, dan akan diedarkan oleh sebuah syarikat perfileman tempatan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI