KUALA LUMPUR, 23 Mei- Legenda muzik Eurodance, Dr. Alban, bakal membuat kemunculan sulungnya di Malaysia menerusi konsert istimewa Rewind & Play Experience pada 23 Mei di ibu negara.
Konsert yang dinanti-nantikan itu akan menampilkan rangkaian lagu-lagu ikonik seperti 'It’s My Life' dan 'Look Who's Talking' yang pernah menguasai carta-carta muzik antarabangsa pada era 90-an.
Penonton bakal dibawa mengembara semula ke zaman kegemilangan muzik Eurodance dalam satu malam penuh nostalgia dan semangat retro.
Konsert itu juga bakal menampilkan persembahan DJ retro, zon aktiviti bertemakan 90-an, visual unik serta pelbagai elemen kreatif yang membangkitkan suasana era tersebut.
Ia juga sebagai penghargaan lebih tiga dekad Dr. Alban dalam industri muzik, serta kejayaannya mengekalkan kerelevanan merentasi generasi.
"Lirik lagu ini sangat hebat. Kita semua pasti pernah mengalami situasi di mana ada orang yang memberitahu jangan buat itu, jangan buat ini. Betul tak?
"Sebab sentiasa akan ada seseorang yang tak setuju dan mahu kawal apa yang kita buat, jangan buat itu, jangan buat ini, buat yang itu, bukan yang ini. Lagu ini menggambarkan perasaan semua orang, setiap orang di mana-mana boleh tafsirkan lagu ini ikut kehidupan mereka sendiri," katanya.
Dr Alban berkata demikian ketika ditanya dalam sesi sidang media tentang lagu hit It’s My Life yang masih kekal popular hingga ke generasi muda.
"Saya amat teruja untuk kembali ke Asia dan tidak sabar untuk beraksi di Kuala Lumpur. Bersiap sedialah untuk malam yang penuh dengan muzik, nostalgia dan tenaga yang tidak akan dilupakan," katanya lagi.