KUALA LUMPUR, 22 Mei- Anggota kumpulan nasyid popular tanah air Rabbani, Nazrul Azhar Tamrin, 47 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, Bukit Saujana Utama pada pukul 4.45 petang tadi.
Berita duka itu disahkan Azadan Abdul Aziz yang juga merupakan ahli kumpulan itu dan turut dikongsikan menerusi Facebook rasmi kumpulan itu.
"Anak Allahyarham menyedari ayahnya tidak sedarkan diri sekitar pukul 4.00 petang, lalu disahkan meninggal dunia sebelum ambulans tiba ke rumah," kata Azadan.
Azadan juga menjelaskan Allahyarham mengalami komplikasi penyakit buah pinggang sejak lapan tahun yang lalu.
Kali terakhir Azadan bertemu dengan Allahyarham pada dua hari lalu iaitu ketika berbincang mengenai kutipan dana kos rawatannya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam orang cahaya mata.
Jenazah akan dikebumikan pada malam ini di Saujana Utama.