fb fb fb fb fb

AIM24 kembali dengan tiga kategori baharu, ganjaran lebih besar

Sidang media AIM24 di ibu negara

KUALA LUMPUR, 4 Jun- Kementerian Komunikasi memperuntukkan RM700,000 bagi 11 pemenang kategori utama Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang juga penyiar rasmi anugerah itu.

Selepas tiga tahun tidak dianjurkan, AIM24 akan diadakan pada 13 September depan dengan pengenalan tiga kategori anugerah baharu yang mencerminkan kepelbagaian, keindahan budaya, serta keterbukaan industri muzik Malaysia terhadap arus global.

Tiga kategori berkenaan ialah Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.

Pengarah Bahagian Program TV, RTM Reza Shariman Othman berkata, muzik mempunyai kuasa luar biasa sebagai penyatuan budaya dan sosial.

"RTM berasa bangga dan berbesar hati menjadi penyiar rasmi untuk Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), sebuah platform berprestij yang telah lama mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri muzik tanah air.

"AIM bukan sekadar acara anugerah, tetapi penghormatan kepada kreativiti, ketekunan, dan kecemerlangan para penggiat muzik Malaysia – termasuk penyanyi, penulis lagu, penerbit dan komposer," katanya.

Pada masa sama RTM komited dalam menyokong bakat tempatan dengan mengetengahkan hasil karya mereka kepada khalayak ramai, sekali gus memberikan pengiktirafan yang sewajarnya.

Sementara itu Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, AIM24 meneruskan usaha dalam memberi pengiktirafan kepada karya-karya cemerlang oleh para penggiat muzik.

"Kami juga amat berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas perluasan sokongan melalui Dana DKK kepada pemenang AIM24.

"Inisiatif ini bukan sahaja menyuburkan bakat tempatan, malah memperkasakan kandungan digital Malaysia untuk pasaran tempatan dan global. Kami juga amat teruja dengan kerjasama pertama kami bersama RTM sebagai penyiar rasmi acara anugerah muzik utama negara ini," katanya.

Dana tersebut disalurkan menerusi program Dana Kandungan Kreatif (DKK) bawah kendalian MyCreative Ventures (MyCV), bertujuan menyokong penerbitan, promosi dan pengedaran kandungan kreatif berimpak tinggi dari segi komersial dan seni.

Pencalonan AIM24 dibuka kepada lagu dan album dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, dan India yang diterbitkan di Malaysia dalam tempoh 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Penyerahan pencalonan bagi ahli RIM bermula pada Rabu, 4 Jun dan akan ditutup pada Jumaat, 4 Julai pukul 5.00 petang.

Semua pencalonan boleh dikemukakan secara dalam talian di: aim1.org.my/online-submission-2025.

Sebanyak 31 kategori anugerah akan dipertandingkan pada AIM24, meliputi pelbagai aspek kreativiti dan keunggulan dalam industri muzik tempatan.

Antara kategori utama termasuk Artis Baru Terbaik, Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Vokal Kumpulan Terbaik, Kugiran Terbaik, serta Vokal Duo atau Kolaborasi Terbaik. Turut dipertandingkan ialah Video Muzik Terbaik, Runut Bunyi (OST) Terbaik di Dalam Filem atau Drama, dan kategori genre seperti Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rap/Hip Hop Terbaik, serta Lagu Pop Elektronik atau Dance Terbaik.

Bagi meraikan kepelbagaian bahasa dan budaya, AIM24 turut mempersembahkan kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, dan Lagu Melayu Terbaik yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara.

Kategori lain ialah Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik, serta Anugerah Khas dan Anugerah Sri Wirama sebagai penghormatan kepada individu atau karya yang memberi impak besar kepada industri muzik.

Kategori praanugerah pula merangkumi Kulit Single atau Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, dan Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu. Selain itu, tiga kategori berdasarkan prestasi digital turut diperkenalkan, iaitu Lagu Paling Tinggi di Strim, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube, dan Lagu Paling Tinggi Ditonton di TikTok, yang mencerminkan kepentingan pencapaian digital dalam era muzik moden.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI