Vietnam, Korea Selatan meterai kerjasama fokus teknologi dan tenaga

Pemimpin Vietnam To Lam (kiri) dan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung/Foto Reuters

HANOI, 22 April – Vietnam dan Korea Selatan memeterai lebih 10 perjanjian kerjasama dalam bidang teknologi, inovasi dan pembangunan tenaga nuklear ketika lawatan Presiden Lee Jae Myung ke Hanoi pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan mencerminkan tahap kepercayaan politik yang tinggi antara Vietnam dan Korea Selatan.
  • Vietnam mengalu-alukan pelaburan Korea Selatan dalam infrastruktur, bandar pintar, semikonduktor, pusat data AI, tenaga nuklear dan pelabuhan pintar.
  • Lee menegaskan ketidaktentuan geopolitik dan persaingan teknologi memerlukan pengukuhan kerjasama kedua-dua negara.

Dalam pertemuan di Istana Presiden, Pemimpin Vietnam To Lam menyifatkan lawatan itu mencerminkan “tahap kepercayaan politik yang tinggi” antara kedua-dua negara.

“Vietnam mengalu-alukan syarikat Korea Selatan untuk membuat pelaburan baharu dan memperluas projek sedia ada, khususnya dalam pembangunan infrastruktur, bandar pintar, semikonduktor, pusat data AI, tenaga nuklear dan pelabuhan pintar,” katanya.

Ini merupakan pertemuan kedua dalam tempoh kurang setahun selepas lawatan To Lam ke Seoul pada Ogos lalu.

Lee pula berkata ketidaktentuan geopolitik dan persaingan teknologi yang semakin meningkat memerlukan kedua-dua negara memperkukuh kerjasama yang telah dibina.

Syarikat gergasi Korea Selatan, Samsung, kekal sebagai pelabur asing terbesar di Vietnam dengan pelaburan lebih AS$23 bilion, selain merancang tambahan pelaburan baharu dalam sektor cip semikonduktor.

Korea Selatan merupakan pelabur asing terbesar Vietnam serta antara rakan dagang utamanya, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah lebih AS$90 bilion tahun lalu.

Vietnam dan Korea Selatan menetapkan sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$150 bilion menjelang 2030.-AFP