
KUALA LUMPUR, 22 April– Malaysia perlu melakukan pembaharuan atau menyesuaikan semula tindak balasnya terhadap perubahan struktur global khususnya dalam perdagangan.
- Perkukuhkan kedudukan strategik sebagai kuasa pertengahan; manfaatkan kekuatan sambil tangani keselamatan tenaga, teknologi dan daya tahan.
- Sertai dan kekal relevan dalam ekosistem rantaian bekalan AS dan China melalui kerjasama strategik.
- Perkukuh industri semikonduktor, ekonomi digital dan sektor tenaga disokong dasar konsisten untuk kekal berkecuali dan menarik pelaburan.
Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Malaysia juga perlu sentiasa peka dengan kedudukan strategiknya sebagai kuasa pertengahan dengan memanfaatkan kekuatannya sambil menangani kebimbangan mengenai keselamatan tenaga, teknologi dan daya tahan keseluruhan.
Menurutnya, usaha itu dilakukan untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem rantaian bekalan Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Bagi MIDA dan Malaysia, kami tahu kekuatan kami, tetapi pada masa sama, kita perlu bersedia untuk cabaran yang akan datang,” katanya pada sesi panel program CNBC Converge Live bertajuk ‘Redrawing the Global Trade Map,’ yang dihoskan pengacara Morning Call, Morgan Brennan.
Tambahnya, Malaysia perlu terus menjalinkan kerjasama dengan AS dan China memandangkan kedua-dua ekonomi itu menyumbang hampir 30 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
Sebagai ekonomi yang terbuka, beliau berkata kekuatan Malaysia dalam industri semikonduktor, ekonomi digital dan sektor tenaga, disokong dasar yang konsisten, membolehkan negara untuk kekal berkecuali dan relevan dalam rantaian bekalan global.
Pasaran modal Malaysia juga kekal optimistik, dengan peningkatan lebih 10 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif, prestasi pelaburan, kadar pengangguran yang stabil serta fleksibiliti dasar dari segi fiskal dan monetari